Make your own free website on Tripod.com

Kajian Inisiatif ICT akan dijalankan

Menu Utama
Artikel 1
Artikel 2
Artikel 3
Artikel 4
Artikel 5
Artikel 6
 

PUTRAJAYA 6 Mei - Satu kajian melibatkan semua inisiatif teknololgi maklumat dan komunikasi (ICT) Kementerian Pelajaran termasuk proses pembestarian sekolah-sekolah akan dilaksanakan tidak lama lagi. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hasil kajian itu akan digunakan untuk membantu pihaknya merangka satu pelan tindakan yang lebih terperinci mengenai hala tuju inisiatif ICT.

Katanya, melalui inisiatif ICT semasa, kementerian yakin projek pembestarian sekolah boleh dicapai menjelang 2010, antaranya, menerusi penambahan 4,500 buah makmal komputer dan peningkatan kelebaran jalur `School Net' dari 1 Mbps kepada 2 Mbps.

"Dengan mengambil kira semua perkakasan, perisian dan kandungan serta latihan yang diberikan dalam inisiatif ICT utama kementerian, boleh dikatakan sekolah-sekolah kita sudah berada separuh jalan ke arah pembestarian sepenuhnya,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hishammuddin, inisiatif ICT utama kementerian ialah Komputer Dalam Pendidikan (KDP), Projek Rintis Sekolah Bestari, School Net, TV Pendidikan dan program pengukuhan iaitu Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Katanya, pembestarian sekolah adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan sekolah-sekolah awam lebih berdaya saing, kondusif dan moden mengikut arus pembangunan semasa. Katanya, langkah tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pelajaran untuk memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan (SK).

"Dalam proses pembestarian sekolah, sasaran kementerian ialah untuk meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa dedahan murid dan guru kepada penggunaan komputer dan mengaplikasikan teknologi yang berkesan dari segi kos,'' katanya.

Hishammuddin menambah, kos pembestarian sekolah-sekolah di seluruh negara akan dapat dikurangkan jika Kementerian Pelajaran menggunakan komputer terpakai. Menurut beliau, dalam hal itu, pihaknya mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta yang berhasrat menyumbangkan komputer-komputer terpakai untuk diagih-agihkan kepada semua sekolah dalam merealisasikan usaha itu.

"Saya percaya kos pembestarian sekolah ini boleh dikurangkan lagi sekiranya kementerian sekadar menggunakan komputer sederhana atau terpakai seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri,'' katanya.

Hishammuddin berkata, setakat ini, 4,500 buah sekolah telah mempunyai makmal komputer, dengan kira-kira 99,000 unit komputer dan 4,600 unit pelayan.

Katanya, sejumlah 8,120 sekolah telah dihubungkan dengan kemudahan jalur lebar School Net dan semua sekolah dilengkapi dengan 14,000 unit televisyen, manakala semua sekolah dibekalkan dengan 97,000 unit komputer riba dan 70,000 unit projektor paparan kristal cecair (LCD).

Dari segi perisian dan kandungannya, katanya, terdapat lebih 2,000 judul perisian di sekolah-sekolah meliputi pembelajaran dan pengajaran, manakala 200,000 guru di sekolah-sekolah awam telah mencapai tahap lanjutan dalam latihan komputer.

Utusan Malaysia
07 Mei 2005

Oleh: NOR ZAINAH NORDIN

 

Atas

 

     

 

This site was last updated 05/14/06