Make your own free website on Tripod.com

Pembestarian sekolah: Memperbaiki kelemahan silam.

Menu Utama
Artikel 1
Artikel 2
Artikel 3
Artikel 4
Artikel 5
Artikel 6
 

MENTERI Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini telah menyatakan hasrat Kementerian Pelajaran untuk membestarikan kesemua 10,000 buah sekolah dan 300,000 orang guru menjelang 2010.

Kementerian Pelajaran juga merancang untuk mengambil kesempatan dengan inisiatif dasar pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Projek Pengkomputeran Sekolah untuk membestarikan sekolah-sekolah.

      Masihkah pembaca ingat pada 20 Mei 2002, Kabinet mengumumkan pelaksanaan PPSMI mulai tahun 2003 dan dimulakan dengan tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah di sekolah-sekolah kebangsaan. Dengan pengumuman yang dibuat itu, rata-rata lapisan masyarakat bercakap tentangnya - ada yang tidak bersetuju dan ada yang tidak dapat membayangkan bagaimana ia akan dilaksanakan.

     Ini memandangkan masa yang ada terlalu singkat untuk benar-benar menyediakan guru-guru yang selama ini mengajar kedua-dua subjek dalam Bahasa Melayu.Cabaran yang dihadapi oleh para guru mata pelajaran sains dan matematik amat besar yang ketika itu memikirkan masa depan generasi akan datang berada di tangan mereka.

    Persoalannya ketika itu, bagaimanakah ia dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat dan berkesan? Dalam mencari jalan penyelesaian Kementerian Pelajaran mencadangkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ia merupakan alat yang akan digunakan untuk memudah dan membantu guru dalam proses P&P bagi kedua-dua mata pelajaran ini.

    Ketika itu, kerajaan memperuntukkan belanja sebanyak RM5 billion untuk tempoh antara tahun 2002 hingga 2008. Sebahagian besar peruntukkan adalah untuk program latihan, menyediakan geran perintis kepada sekolah-sekolah dan juga peralatan bantuan pengajaran dan pendidikan, selain daripada kemudahan asas dan infrastruktur fizikal termasuklah keperluan ICT.

     Guru-guru pula dibekalkan dengan komputer riba, projektor LCD dan pelbagai prasarana lain.Akses Internet kepada 250 sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak dinaikkan taraf di bawah perhubungan maya. Untuk mengatasi masalah kedudukan geografi dan perhubungan, teknologi rangkaian dalaman tanpa wayar dan Telefoni IP diperkenalkan.

    Pada masa yang sama semua sekolah dilengkapi makmal komputer.Namun begitu, walaupun belanja yang besar diperuntukkan dan banyak syarikat yang bermanafaat daripadanya tetapi setelah hampir tiga tahun pelaksanaannya pihak Kementerian Pelajaran menerima laporan-laporan tidak rasmi yang mengatakan terdapat peralatan dan bahan yang dibekalkan tidak diguna pakai oleh guru-guru dengan sepenuhnya dan secara tidak langsung memberi kesan kepada pencapaian pelajar.

    Jika ini benar, di manakah silapnya? Adakah latihan guru yang diberi tidak mencukupi, adakah peralatan yang disediakan kurang sesuai, adakah guru-guru masih belum bersedia, mungkin juga guru-guru sendiri merasakan mereka mampu mengajar tanpa menggunakan alat bantu atau mengapa?

   Masalah ini perlu diteliti dengan kadar yang segera sebelum cabaran yang lebih besar iaitu pembestarian kesemua 10,000 buah sekolah dan 300,000 guru menjelang 2010 dilancarkan, yang juga akan mengambil kesempatan di atas inisiatif PPSMI dan Projek Pengkomputeran Sekolah yang sama.

   Sebelum pembestarian sekolah-sekolah dilancarkan saya amat berharap pihak yang dipertanggungjawabkan lebih bersedia dan membuat analisis terperinci sebagai panduan untuk merancang strategi yang bakal diguna pakai dalam melaksanakan pembestarian itu nanti. Ini adalah kerana apabila kita menyebut mengenai pembestarian sekolah, ia bermakna pembestarian P&P dan juga pengurusan sekolah, berbeza dengan apa yang biasa dipraktikkan oleh guru-guru PPSMI dan cabarannya juga berbeza.

   Satu contoh mudah, dalam membestarikan P&P , pendekatan yang digunakan adalah berpusatkan pelajar, iaitu 70 hingga 80 peratus P&P memerlukan penglibatan aktif pelajar. Jika pendekatan P&P yang diguna pakai iaitu 80 hingga 90 peratus masih dimonopoli oleh guru, ini bermakna guru-guru tersebut masih belum bersedia untuk membestarikan P&P mereka walaupun peralatan ICT yang lengkap di sediakan.

   Pembestarian juga bukan hanya sekadar menggunakan ICT dan perisian kursus pengajaran PPSMI atau pun perisian kursus Sekolah Bestari, tetapi kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap guru iaitu kemahiran pemudah cara, kemahiran motivasi, kemahiran membina nilai, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir kritis dan kreatif , kemahiran teknologi maklumat, kemahiran mentaksir dan menilai dan kemahiran belajar. Kemahiran-kemahiran ini kritikal supaya guru dapat mengurus pembelajaran pelajar dengan kritis, kreatif dan inovatif bagi menjayakan pembestarian sekolah-sekolah ini.

    Dan harapan saya juga, sama seperti PPSMI, antara cabaran lain yang perlu dititikberatkan adalah untuk mengajak atau mengubah pemikiran kesemua 300,000 guru untuk menerima perubahan secara positif.

27/05/2005 4:31 p.m.
Bersama CIKGU WAN

Atas

     

 

This site was last updated 05/15/06