Make your own free website on Tripod.com
 
Menu Utama
Artikel 1
Artikel 2
Artikel 3
Artikel 4
Artikel 5
Artikel 6
  Pembestarian: Semua perlu buka fikiran

Portal Internet Desa -11/05/06

Posted by Faridah -02/02/06

KEMENTERIAN Pelajaran dalam usaha ke arah pembestarian sekolah, menekankan inisiatif kerajaan dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan.
Inisiatif yang sedia ada seperti Sekolah Bestari, Projek Pengkomputeran Sekolah, Komputer dalam Pendidikan dan juga Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sedang dikaji semula daripada aspek prasarana, sistem serta objektif setiap inisiatif untuk di selaraskan bagi menghasilkan satu usaha pembestarian sekolah yang lebih komprehensif dan teratur.


Dalam usaha membestarikan sekolah, adalah baik jika kita turut membuat perbandingan dengan negara-negara lain.
Di sini saya ingin sekali lagi berkongsi kajian ICT di sekolah-sekolah di United Kingdom pada tahun 2004.
Kajian yang dilakukan terbahagi kepada beberapa aspek iaitu komputer di sekolah-sekolah, peralatan ICT yang lain, Internet dan email, pengurusan perubahan dan latihan, penggunaan ICT di sekolah, impak di sekolah serta pengurusan dan peruntukan.


Hari ini bicara saya akan menyentuh mengenai aspek keyakinan pihak-pihak yang terlibat dan latihan dalam ICT. Berdasarkan kajian tersebut, seramai sembilan daripada 10 buah sekolah menyatakan pengurus dan guru-guru menerima nasihat secara professional dan sokongan mengenai ICT pada paras yang berpatutan.
Antara soalan yang dikemukakan juga ialah berapa ramai guru yang sangat yakin, yakin dan tidak yakin dalam penggunaan ICT dalam tugasan mereka.


Pada tahun 2004, terdapat 85 peratus guru sekolah rendah dan 81 peratus guru sekolah menengah yang sangat yakin dan yakin menggunakan ICT dalam menjalankan tugas-tugas mereka.
Mereka turut ditanya dari satu senarai pilihan yang manakah punca utama nasihat dan sokongan secara professional dalam ICT yang membantu mereka.Kebanyakan sekolah memilih rakan sekerja menjadi pilihan utama, iaitu sembilan daripada 10 buah sekolah memberi maklum balas tersebut.

Dapatan menunjukkan e-confidence atau e-yakin guru di United Kingdom ialah tinggi dan 90 peratus sekolah menunjukkan keyakinan mereka ini adalah atas bantuan dan sokongan rakan sekerja.
Jika begini semangat kerja dan profesionalisma yang ditunjukkan oleh guru-guru di United Kingdom, kenapa tidak di negara kita.


Di negara kita, sesetengah pihak atau sebilangan guru menganggap ICT bakal menambahkan beban serta melambatkan kerja mereka. Segelintir pihak masih tidak mahu berubah atau takut untuk menerima perubahan.
Dalam penulisan saya yang lalu pernah saya menyentuh tentang guru yang perlukan anjakan paradigma.
Pada pandangan saya, tidak mudah untuk mengubah seseorang.
Tetapi, jika kita ingin berjaya, semua pihak mesti berfikiran terbuka, diikuti dengan perancangan yang strategik penggubal dasar.


Kita tidak akan mencapai apa-apa jika pemahaman kita sedikit. Kita harus memberi ruang untuk melihat dengan lebih mendalam, tidak memadai setakat aspek perancangan di peringkat dasar itu sendiri.
Aspek pengguna serta pelaksana di bilik darjah dan pengurusan sekolah yang praktikal juga perlu diteliti.
Saya juga berharap setiap warga pendidik di negara kita memerdekakan diri kita daripada belenggu tidak yakin terhadap sistem, serta bahan bantu berasaskan ICT, yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran.
Semoga pendidikan di negara kita tidak tertinggal ditakuk yang lama demi merealisasikan konsep bestari di semua sekolah seluruh negara.